Taman Laut Pulau Payar Langkawi

Ingin tahu apa rasanya mandi dan berenang bersama ikan berwarna-warni di sekeliling anda? Jika ya, kunjungi Taman Marin Pulau Payar Langkawi untuk satu pengalaman yang pasti sukar anda lupakan.



Di pulau tidak berpenghuni ini, anda boleh mandi manda di tepi pantai atau melakukan aktiviti snorkeling dan scuba diving secara berkumpulan di samping ribuan ikan yang selalunya anda lihat hanya di kaca tv.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin dapat melihat ikan lumba-lumba, ikan paus dan ikan yu paus sewaktu musim panas (Oktober hingga Februari).


Namun begitu, mungkin kerana faktor kos, anda akan lebih banyak berjumpa pelancong luar negara dari pelancong tempatan sewaktu di sini.

Aktiviti Di Pulau Payar
Kebanyakan dari anda akan menghabiskan masa dengan snorkeling. Namun begitu, anda juga boleh melakukan aktiviti jungle trekking dengan menaiki lebih 100 anak tangga dan masuk ke kawasan hutan di pulau ini.
Jika anda pencinta burung, anda juga boleh melihat spesies burung liar di kawasan pulau ini seperti burung pergam dan helang.

Dari Langkawi ke Pulau Payar
Perjalanan dari Langkawi ke Pulau Payar dengan feri selalunya mengambil masa 1 jam. Dari Pulau Payar, anda kemudian akan di bawa oleh bot kecil ke destinasi anda.

Cara Ke Pulau Payar
Anda boleh ke Pulau Payar melalui 3 laluan — dari jeti Kuala Kedah (30 min), Pulau Langkawi (1 jam) atau Pulau Pinang (2 jam).

Kebanyakan pengunjung ke sini selalunya datang melalui pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan di sekitar Langkawi. Pakej sebegini selalunya termasuk kos peralatan snorkeling, pengangkutan pergi balik ke hotel, insuran dan makan tengahari sewaktu di pulau.

Tiada penginapan di Pulau Payar. Walaupun begitu terdapat chalet kecil untuk anda yang mahu berehat sebelum menunggu waktu pulang ke Langkawi.

Ada surau di pulau ini untuk anda solat bila masuk waktunya. Jadi jangan lupa bawa baju kering.
Anda dilarang memberi makan ikan di sini.

Pulau ini tiada bekalan air tawar dan semua tandas menggunakan air laut. Bawa air botol yang mencukupi untuk minum dan membersihkan diri. Ini penting jika anda tidak mahu pulang ke hotel dengan badan diliputi air masin.

Pulau ini tiada kedai. Pastikan anda bawa makanan dan sunblock secukupnya.
Lawatan ke Pulau Payar dengan tempoh perjalanan pergi balik dan aktiviti selalunya mengambil masa dari pagi hingga ke petang. Jadi pastikan anda lapangkan satu hari khas untuk ke sini.

SHARE

Unknown

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment