Showing posts with label politik malaysia. Show all posts
Showing posts with label politik malaysia. Show all posts

Usul transgender: Khairy persoal kenyataan penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mempersoalkan kenyataan seorang penganalisis politik yang menuduh beliau cuba menarik perhatian masyarakat dengan membawa usul transgender pada Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.
Khairy berkata, Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan setiap tahun sentiasa dijadikan platform oleh setiap ahli parti dan pembahas untuk mendebatkan pelbagai isu semasa, termasuk isu sosial dan agama.
"Takkan soal pentadbiran undang-undang Islam tak boleh dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Jika tak boleh bincang isu agama, apa yang boleh kita bincangkan lagi?

"Jadi saya tak faham apa yang disampaikan cuba disampaikan individu itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan Sri Murugan Centre di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya di sini, sebentar tadi.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan seorang penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain melihat hasrat Khairy membawa usul transgender sebagai langkah Pemuda untuk menjuarai isu semasa perhimpunan itu.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan sebelum ini dilaporkan akan membawa isu transgender ketika Perhimpunan Agung UMNO selepas melihat kebimbangan Pemuda terhadap isu berkenaan sudah tidak dapat dibendung lagi, selain mahu masyarakat tahu pendirian parti terhadap isu berkenaan.

Wakil rakyat ditegur gagal patuhi etika mesyuarat


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menegur Ahli Parlimen yang kerap tidak mematuhi etika bermesyuarat semasa sesi soal jawab.
Pandikar Amin yang sebelum ini beberapa kali mengingatkan wakil rakyat supaya hanya bertanyakan satu soalan tambahan yang ringkas dan padat, akhirnya berang apabila peringatan itu seolah-olah tidak difahami.
"Saya mahu ahli-ahli Yang Berhormat tunjuk kerjasama. Sudah hampir sejam, tapi soalan yang dah dijawab baru dua setengah. Sering kali saya ingatkan jangan tanya soalan tambahan panjang-panjang.
"Menteri yang menjawab juga hanya jawab soalan yang ditanya, jangan libatkan dasar-dasar," tegasnya.
Teguran itu dibuat semasa giliran Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengemukakan soalan mengenai sistem peperiksaan dalam talian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tetapi beliau bertanyakan soalan tambahan dengan mukadimah yang terlalu panjang seakan-akan berbahas.
Pandikar Amin kemudian meminta anggota Dewan turut mengambil kira kepentingan pertanyaan mengenai isu lain yang ditetapkan dalam aturan urusan mesyuarat hari berkenaan.
Menurut peraturan mesyuarat, Speaker boleh membenarkan sehingga tiga soalan tambahan, selagi ia berkaitan dengan soalan asal yang dikemukakan. "Saya boleh beri tiga soalan tambahan kalau saya rasa isu itu mustahak. Tapi, masih ada juga yang berdiri lagi. Saya tak boleh kawal kalau semua takberi kerjasama. Tolong ingat, saya serius dalam perkara ini," kata Pandikar Amin.
Hanya satu setengah jam diperuntukkan bagi sesi soal jawab Dewan Rakyat iaitu bermula jam 10 pagi hingga 11.30 pagi.
- BERNAMA

Kes saman Abdul Khalid terhadap Malaysian Insider 2 Jun


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari bermula 2 Jun tahun depan untuk perbicaraan kes saman bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap portal berita The Malaysian Insider berhubung artikel mengenai isu jawatan Menteri Besar Selangor. Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam New Sin Yew yang mewakili Abdul Khalid dan peguam Seira Sacha mewakili The Malaysian Insider.
New ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 2 hingga 4 Jun depan untuk perbicaraan dan 5 Mei untuk pengurusan kes.
Pada 11 Ogos lalu, Abdul Khalid selaku plaintif, memfailkan saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan Penyunting laman sesawang www.themalaysianinsider.com(The Malaysian Insider), Jahabar Sadiq Abdul Kader, Penyunting Bahasa Melayu untuk versi Bahasa Melayu portal itu, Amin Shah Iskandar, pemilik dan pentadbir portal berita itu, The Edge Communications Sdn Bhd dan TMIDOTCOM Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga keempat.
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa defendan pertama (Jahabar) menerbitkan kenyataan fitnah dan atau/palsu dalam suatu ulasan penyunting Bahasa Inggeris bertajuk "Going by Selangor Ruler's criteria, Khalid should quit as MB" dalam ruangan Komentar, The Malaysian Insider pada 24 Julai lalu.
Abdul Khalid mendakwa artikel sama turut dikeluarkan oleh defendan kedua (Amin) dalam versi Bahasa Melayu pada tarikh sama dengan tajuk "Berasaskan Kriteria Sultan Selangor, Khalid wajar berundur sebagai MB". Plaintif mendakwa artikel yang diterbitkan dalam dua versi (Bahasa Inggerisdan Bahasa Melayu) itu menunjukkan beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak beretika, seorang yang tidak layak menyandang jawatan Menteri Besar Selangor (ketika itu), serta seharusnya berundur dan/atau meletak jawatan sebagai menteri besar kerana tidak memenuhi kriteria Sultan Selangor.
Beliau berkata, perkataan dalam artikel itu diterbitkan dengan niat jahat. Selain itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mendakwa, The Malaysian Insider juga menerbitkan suatu siri ulasan dari 9 Jun hingga 24 Julai lalu yang kononnya mendedahkan salah laku beliau. Abdul Khalid menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.
-BERNAMA